fb fb fb fb fb

Pemukiman Khas akan dilaksana bincang SOP tangani buli

Foto hiasan/Arkib BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Ogos - Satu pemukiman khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelaras prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kes buli di sekolah dan institusi pendidikan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, langkah itu susulan pindaan Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang kini mentakrifkan perbuatan buli sebagai jenayah.

“Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan sedang meneliti beberapa langkah khusus. Namun ada persefahaman untuk mengadakan satu pemukiman melibatkan pelbagai kementerian bagi memastikan aspek SOP ditangani secara menyeluruh. Aspek pendakwaan dan keselamatan akan melibatkan banyak pihak, justeru pemukiman ini akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, isu buli bukan sahaja berlaku di asrama, malah turut dilaporkan di sekolah harian. Penyelarasan tindakan akan melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui MARA, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi berkata Jemaah Menteri menerima pembentangan cadangan tribunal kes buli kanak-kanak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Pada mesyuarat hari ini, Datuk Seri Azalina memberi maklum balas awal mengenai cadangan tribunal anti-buli. Beliau memohon sedikit masa untuk menyediakan dokumen berkaitan sebelum dibentangkan semula di Jemaah Menteri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

TUN JULIA MOHD TAHIR