ISTANBUL, 6 Julai - Isu kenaikan harga barang tidak hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan yang diakibatkan oleh konflik geopolitik dan perubahan iklim.
Bagaimanapun, kerajaan terus berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.
(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kerajaan berbelanja hampir RM80 bilion untuk memastikan harga barangan tidak naik.
Malaysia juga berdepan inflasi yang jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain disebabkan intervensi jangka pendek kerajaan dengan mengekalkan subsidi.
"Kerajaan lakukan apa saja untuk pastikan rakyat tidak terbeban ketika ini akibat kenaikan harga barang. Berlaku di luar. Berlaku di seluruh dunia tapi di Malaysia kita cuba kekalkan," kata Ismail Sabri ketika berucap pada majlis makan tengahari Keluarga Malaysia di Istanbul.
Inflasi makanan di Malaysia adalah pada tahap 5.2 peratus, manakala inflasi keseluruhannya 2.8 peratus.
Di Turkiye, inflasinya pada paras 78 peratus iaitu yang tertinggi dalam tempoh 24 tahun.
Manakala inflasi makanan republik itu adalah 93.9 peratus.