fb fb fb fb fb

Industri halal negara sumbang RM149 bilion kepada KDNK - TPM

Industri halal Malaysia sumbang RM149 bilion kepada KDNK sepanjang fasa pertama pelaksanaan HIMP2030.

PUTRAJAYA, 16 Jun – Industri halal Malaysia terus cemerlang dengan menyumbang RM149 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala nilai eksport mencecah RM61.8 bilion sepanjang fasa pertama Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu petunjuk jelas bahawa hala tuju pembangunan industri halal negara berada di landasan yang tepat.

Katanya, industri itu semakin diyakini bukan sahaja di peringkat domestik malah oleh pasaran global.

“Kadar pelaksanaan fasa pertama HIMP2030 yang mencecah 89.7 peratus merupakan petunjuk jelas bahawa kita berada di tahap pencapaian yang amat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) di sini.

Menurut beliau, ekosistem halal juga terus diperkukuh melalui pengembangan Halal Parks yang kini berjumlah 14 taman halal strategik di seluruh negara melibatkan keluasan 200,000 ekar.

Setakat suku pertama tahun ini, Halal Parks merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM3.8 bilion.

Kerajaan juga katanya, memperkenalkan kerangka baharu HALMAS yang berpaksikan kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) bagi merangsang pelaburan sektor halal.

“Melalui kerangka ini, kita menyasarkan pelaburan terkumpul sebanyak RM25 bilion menjelang 2030. Usaha ini akan diperkukuh dengan pembangunan infrastruktur, pemantapan tadbir urus dan insentif pelaburan yang lebih kompetitif,” katanya.

Beberapa inisiatif baharu turut dirancang, termasuk penggubalan 'Bill of Guarantees' dan pelancaran 'HALMAS Mark of Excellence'.

Bagi memastikan pembangunan taman-taman halal lebih seimbang di seluruh negara, kerajaan negeri turut digesa untuk mengemukakan pelan intervensi khusus.

“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting, terutamanya dalam memperkasa taman-taman yang masih berdepan kadar penyertaan industri yang rendah,” tambah beliau.

Mesyuarat MPIH turut menyaksikan pelancaran inisiatif 'Women in Halal Industry' (WHI) yang diterajui Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad dengan kerjasama Halal Development Corporation Berhad.

Inisiatif itu bertujuan memperkasakan peranan wanita dalam rantaian nilai industri halal serta membuka lebih banyak ruang untuk penyertaan mereka.

“Ini membuktikan iltizam Kerajaan Madani untuk membangunkan industri halal yang berimpak tinggi, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN