fb fb fb fb fb

Import beras: KPKM rancang adakan rundingan dengan negara serantau

Mohamad pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak

PARIT BUNTAR, 6 Mei - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merancang untuk mengadakan rundingan dengan Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi meningkatkan import beras.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan bekalan beras rentetan daripada konflik antara India dan Pakistan yang merupakan pengeksport beras utama negara dengan kedua-duanya menyumbang hampir 38 peratus beras putih dan basmati.

"Boleh jadi bekalan import terjejas, ini kerana kedua-dua negara mengeksport kira-kira 38 peratus beras ke negara kita. Saya harap dan berkeyakinan kedua-dua pihak pun tidak mahu berperang.

“Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja bagi memastikan bekalan beras di negara ini terjamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pusat berkenaan. 

Sebelum ini, media melaporkan konfilik antara India dan Pakistan tercetus susulan insiden serangan berdarah di wilayah Kashmir, India yang mengorbankan 26 individu pada 22 April lepas. -BERNAMA

JALALUDDIN BIN BAHARIN