fb fb fb fb fb

Malaysia miliki kekuatan rundingan, capai tarif sifar dengan AS

Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Malaysia mempunyai kekuatan rundingan yang kukuh untuk mencapai sasaran tarif sifar dengan Amerika Syarikat (AS), berdasarkan kedudukan strategiknya dalam rantaian bekalan global serta hubungan pelaburan yang lama terjalin antara kedua-dua negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, kekuatan Malaysia terletak pada statusnya sebagai destinasi pelaburan utama bagi syarikat AS dalam pelbagai sektor utama.

Malaysia mempunyai hubungan ekonomi yang telah lama terjalin dengan AS serta kepakaran negara dalam sektor eksport utama seperti semikonduktor, minyak sawit dan barangan berteknologi tinggi.

"Banyak pelabur utama dari AS telah melabur dalam sektor pusat data, pembuatan semikonduktor dan sarung tangan perubatan di Malaysia.

"Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja pembekal, malah rakan strategik dalam ekosistem ekonomi global.

"Jika dilihat daripada aspek geopolitik, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam mengimbangi pengaruh kuasa besar di rantau Asia. Maka, hubungan dua hala ini bukan sahaja bersifat ekonomi tetapi juga strategik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.

Mengulas kemungkinan kegagalan rundingan, beliau berkata Malaysia perlu memperluaskan akses pasaran menerusi kerjasama serantau seperti ASEAN dan blok perdagangan lain termasuk Kesatuan Eropah, United Kingdom dan negara-negara Amerika Selatan.

Dalam masa yang sama, Malaysia perlu meningkatkan keupayaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi bagi mempertingkatkan nilai tambah produk tempatan dalam rantaian bekalan global.

Rundingan tarif antara Malaysia dan AS yang sedang berlangsung ketika ini dilihat sebagai peluang penting untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara, meluaskan capaian pasaran serta merealisasikan aspirasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM