TELUK INTAN, 6 Mei – Pengusaha kantin Sekolah Menengah San Min (SUWA) dikenakan kompaun RM1,000 dan diarahkan tutup selama empat hari susulan insiden keracunan makanan yang melibatkan 43 pelajar asrama sekolah itu pada 24 April lalu.
Menurut EXCO Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan, tindakan penguatkuasaan itu diambil di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas siasatan mendapati berlaku pencemaran silang terhadap makanan yang disediakan.
“Jangkitan disyaki berpunca daripada makanan yang disediakan kepada pelajar pada atau sebelum 21 April 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan antara simptom yang direkodkan termasuk sakit perut (76.7 peratus), cirit-birit (62.8 peratus), muntah (51.2 peratus) dan demam (16.3 peratus).
“Kesemua pelajar hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan tiada yang dimasukkan ke wad,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Hilir Perak merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Siti Rohani Nurumal berkata, sampel klinikal, makanan dan persekitaran telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh untuk analisis lanjut.
“Pemantauan berterusan dijalankan setiap hari bersama pihak pentadbiran sekolah dan tiada pertambahan kes dilaporkan setakat ini,” katanya.