fb fb fb fb fb

CIDB laksana 157 pemeriksaan tapak pembinaan di Melaka sejak Januari

Mohammad Farris Abdul Aziz / Foto RTM

BACHANG, 6 Mei- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melaksana 157 pemeriksaan terhadap tapak pembinaan seluruh Melaka bagi tempoh Januari hingga awal Mei ini. 

Daripada pemeriksaan terbabit, sebanyak 157 notis dan 34 kompaun telah dikenakan kepada 82 syarikat atas ketidakpatuhan terhadap Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520). 

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan CIDB Malaysia, Mohammad Farris Abdul Aziz berkata, kes kegagalan mengisytihar projek mencatat peratusan tertinggi iaitu sebanyak 47.06 peratus. 

"Tahun ini sahaja, CIDB Melaka telah melaksanakan 157 pemeriksaan terhadap tapak pembinaan. CIDB Melaka telah mengeluarkan beberapa notis dan kompaun di bawah kesalahan-kesalahan yang terbabit dengan ketidakpatuhan Akta 520.

"Kesalahan dikesan melibatkan eksploitasi pekerja dan perakuan pematuhan bahan binaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu CIDB 2025 di sebuah tapak pembinaan kilang di sini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar mana-mana kontraktor atau subkontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan mematuhi segala syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM