fb fb fb fb fb

Import ayam sekiranya bekalan tidak cukup

(FOTO RTM)

GURUN, 26 Jun-Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengimport bekalan ayam dari luar negara sekiranya bekalan tersebut tidak mencukupi bagi menampung keperluan dalam negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah membawa masuk dan menambah jumlah import bekalan itu dilihat perlu bagi mengimbangi harga sekali gus memastikan pengguna mendapat bekalan ayam pada harga yang berpatutan.

"Penternak inginkan agar harga tinggi bagi jualan. Manakala pengguna inginkan agar harga menjadi murah.

"Kita jamin bekalan ayam cukup dan harganya tidak melambung dengan cara mengimport ayam dari luar. Sekiranya terdapat lebihan bekalan, kita boleh eksport ke luar", katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini.

Sebelum ini, kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku dari luar negara bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan, selain sekatan eksport ayam dan pemansuhan permit import (AP) pada Jun tahun lalu.

Kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dipercayai berpunca apabila penternak tempatan mengurangkan pengeluaran bagi mengelak kerugian akibat peningkatan kos operasi yang disumbangkan oleh peningkatan ketara harga makanan ayam.


(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu)

Media Baharu