fb fb fb fb fb

Banduan penjara zon merah dipindah ke zon hijau atasi kesesakan

MELAKA, 26 Jun - Jabatan Penjara melaksanakan pemindahan penempatan banduan yang berada di zon merah atau kuning ke kawasan zon hijau bertujuan mengatasi masalah kesesakan banduan .

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, ketika ini sebanyak 5% penjara dikategorikan sebagai zon merah khususnya di kawasan Pantai Timur seperti Penjara Marang di Terengganu dan Pengkalan Chepa, Kelantan serta di Sabah dan Sarawak.

"Merah bermaksud kesesakan dan kita boleh membenarkan kesesakan pada kadar 20%, katakan kapasiti 1,000 kiranya kapasiti itu diisi 1,200 banduan maknanya masih boleh dipertimbang lagi iaitu kita warnakan kuning tetapi kalau lebih daripada 20% dia akan menjadi merah," kata Ajidin, di sini.

Selain itu , pihaknya juga akan memperluaskanĀ  pelaksanaan beberapa program seperti Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen, selain Program Pemulihan Pemasyarakatan .

Pihaknya juga menyasarkan dua pertiga banduan layak menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang tahun 2030, bagi mengatasi masalah kesesakan banduan di penjara.

"Pihak kementerian telah menguruskan pesalah-pesalah menjalani hukuman bawah tiga tahun boleh dilepaskan secara lesen oleh Ketua Pengarah Penjara Komisioner Jeneral Penjara melalui mesyuarat dibuat peringkat institusi negeri seterusnya ibu pejabat," katanya.

(Ajidin bercakap kepada media selepas menyempurnakan
Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022
Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney Penjara Malaysia, di Telok Mas)

Dalam pada itu Ajidin berkata Jabatan Penjara menjalin kerjasama dengan universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memberi peluang kepada pesalah melanjutkan pengajian dalam pelbagai peringkat.

Katanya kolaborasi itu termasuk usahasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Open University Malaysia (OUM) dan Asia College of Exercise Medicine (ACEM).

"Di Jabatan Penjara ini pendidikan bukan sahaja diberikan kepada Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney untuk pesalah juvana sahaja malah bagi pesalah dewasa, kami juga telah rangka program dengan institusi berkenaan bagi mereka yang terpilih dan berkelayakan.

"Di UPSI sebagai contoh ada yang melanjutkan pengajian dalam Diploma Keusahawanan, selain ada dalam kalangan mereka yang sedang menyambung pengajian di pelbagai peringkat dari program diploma hingga ijazah kedoktoran di ACEM dan OUM," katanya.

Sementara itu beliau berkata pencapaian SPM bagi Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney juga mencatatkan pencapaian lulus 100 peratus selain ada satu sekolah yang berjaya menjangkau Lonjakan Saujana.

"Kecemerlangan ini juga hasil kesungguhan dan komitmen tinggi pelajar serta guru sehingga berjaya membuktikan kemampuan dalam memberi peluang kedua kepada mereka menentukan hala tuju kehidupan seterusnya memperlihatkan keberkesanan program pendidikan penjara," katanya.

Media Baharu