
MEKAH, 14 Mei– Penantian selama lebih tiga dekad Zalipah Md Alwi, 73 tahun untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya terjawab apabila beliau terpilih menjadi tetamu Allah bagi musim haji tahun ini.
- Mula menyimpan impian haji sejak umur 40, sering tertangguh kerana tanggungjawab menjaga ibu.
- Pemergian bonda akibat COVID-19 detik paling berat, namun beliau reda dan bersyukur kepada ketentuan Allah.
- Berdoa jadi 'tetamu VVIP' bukan mahukan kemewahan tetapi kemudahan, ketenangan, haji mabrur serta keikhlasan dalam ibadah.
Beliau yang mula menyimpan impian untuk menunaikan haji sejak berusia 40 tahun menyifatkan peluang tersebut sebagai satu anugerah yang amat disyukuri selepas hasratnya tertangguh beberapa kali akibat pelbagai kekangan, termasuk tanggungjawab menjaga ibunya yang sakit.
Pemergian bonda tercinta akibat jangkitan COVID-19 merupakan antara detik paling berat dalam hidupnya, namun beliau reda dengan setiap ketentuan-Nya.
“Saya setiap hari berdoa, ‘Ya Allah Ya Tuhanku, permudahkanlah segala urusan saya di sana’. Saya sering sebut, jadikanlah saya tetamu VIP-Nya, dapat mengerjakan haji dalam suasana yang selesa dan lancar.”
Harapan saya hanya satu, iaitu untuk memperoleh haji yang mabrur. Malah, kawan-kawan yang lain pun mendoakan perkara yang sama. Selebihnya, kita berserah sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT,” katanya.
Menurut Zalipah, doa untuk menjadi ‘tetamu VVIP’ Allah bukan bermaksud mengharapkan layanan mewah, sebaliknya beliau hanya berharap diberikan kemudahan dan ketenangan sepanjang menunaikan ibadah.
Meskipun hadir menunaikan ibadah secara bersendirian, Zalipah tidak pernah merasa kesunyian kerana yakin Allah sentiasa mempermudahkan setiap urusannya, selain menerima layanan baik daripada rakan jemaah yang lain.
Baginya, matlamat utama kini hanyalah untuk memperoleh haji yang mabrur, seiring dengan ketenangan luar biasa yang dirasai sepanjang berada di Madinah dan Mekah.
Beliau kini berserah sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT sambil terus fokus menyempurnakan ibadah dengan penuh keikhlasan.