
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kerajaan terus memantau secara rapi perkembangan ketegangan di Asia Barat bagi menilai sebarang implikasi terhadap sektor eksport negara.
- Kerajaan memantau ketegangan Asia Barat untuk menilai implikasi terhadap eksport negara.
- Kesan langsung konflik terhadap jumlah dagangan Malaysia dinilai sangat kecil.
- Malaysia mematuhi sekatan PBB dan hanya eksport atau import barangan dibenarkan.
- Barangan dieksport termasuk makanan, minyak sawit, hasil pertanian, pakaian dan getah asli.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sin Tze Tzin, memaklumkan jumlah perdagangan Malaysia dengan Iran pada tahun 2024 adalah sekitar RM2.45 bilion, iaitu hanya 0.09 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara.
Beliau berkata, berdasarkan peratusan tersebut, kesan langsung konflik terhadap jumlah dagangan Malaysia adalah sangat kecil, iaitu kurang daripada 0.1 peratus.
“Malaysia masih menilai situasi konflik di Timur Tengah. Jumlah perdagangan kita dengan Iran tidak besar dan hanya menyumbang 0.09 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan pada 2024.
“Justeru, impaknya kepada perdagangan negara adalah minimum,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia sentiasa mematuhi sekatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan hanya menjalankan eksport serta import barangan yang dibenarkan.
Antara produk yang terlibat termasuk makanan, minyak sawit, hasil pertanian, pakaian dan getah asli.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Low Kian Chuan berhubung potensi kesan terhadap eksport Malaysia sekiranya konflik Asia Barat berpanjangan.