fb fb fb fb fb

IMFC Johor siap tahun ini, dijangka tarik lebih ramai pelabur

Menteri Besa Johor, Datuk Onn Hafiz semasa membuat lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang di sini.

JOHOR BAHRU, 12 Februari- Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang dijangka siap pada tahun ini dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pelabur baharu melabur di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata fasiliti menempatkan agensi kerajaan persekutuan dan negeri itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Beliau berkata pusat sehenti itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri yang akan menjadi pencetus perubahan dan pemangkin kepada peningkatan ekonomi negeri Johor.

"Sebelum ini, di Kuala Lumpur, IMFC memang sudah diwujudkan tetapi tiada kolaborasi dengan agensi dari kerajaan negeri.

“Ini antara kerjasama khas ini dan kita sasar pada tahun ini akan siap yang akan memudahkan pelabur seperti disebut pada pengumuman penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang di sini.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata konsep Johor Fast Lane yang bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan perniagaan di sini turut menjadi faktor pelabur untuk melabur di negeri ini.

Ujarnya, menerusi inisiatif berkenaan, 30projek pelaburan berjaya diluluskan, tahun lepas.

“Konsep itu bermula melalui Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sebelum diperluas kepada PBT lain.

“Pada masa ini, empat majlis tempatan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan MPKu telah melaksanakan konsep itu secara agresif,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Onn Hafiz menegaskan bekalan elektrik dan air di Johor yang berada pada tahap lebih daripada mencukupi akan turut meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini.

“Bekalan elektrik di seluruh Johor mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 10,476 megawatt (mw), jauh lebih tinggi berbanding permintaan maksimum, 2,804 mw. Lebihan sebanyak 75 peratus bekalan elektrik boleh dimanfaatkan oleh pelbagai sektor ekonomi di Johor termasuk kawasan perindustrian.

“Bagi bekalan air, Ranhill SAJ memaklumkan terdapat 16 projek sedang berjalan termasuk tiga projek dalam bentuk kajian manakala 13 projek sudah mempunyai peruntukan pelaksanaan. Dari segi jangka pendek dan sederhana, permohonan perindustrian untuk air ini mencukupi," katanya.

Tambahnya, satu daripada 13 projek telah siap dan bakinya akan siap secara berperingkat pada tahun ini dan tahun depan dengan penambahan kapasiti bekalan air sebanyak 1,170 juta liter sehari.

Ketika ini, lima daerah dikenal pasti mempunyai rizab air rendah, iaitu Johor Bahru, Pontian, Kluang, Segamat dan Batu Pahat.

Sementara bekalan elektrik di Johor, disokong 105 Pencawang Masuk Utama, 108 Pencawang Pembahagian Utama dan 15,643 Pencawang Elektrik, meliputi 12 kawasan perniagaan seluruh Johor.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI