fb fb fb fb fb

IKIM seru semua pihak dapatkan fakta tepat berkaitan kes Nik Elin

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil maklum dan menghormati
keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Satu Lagi Lawan Kerajaan Negeri Kelantan.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menerusi satu kenyataan berkata, kes tersebut adalah berkaitan kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan untuk menggubal atau membuat beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di mana 18 peruntukan yang dicabar dan hanya 16 peruntukan yang diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

Jelasnya, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat menegaskan isu dalam kes berkenaan bukan tentang kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia, tetapi berkenaan Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan-peruntukan tersebut mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

“Untuk pengetahuan, sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam telah ditubuhkan pada Disember 2023 yang berperanan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil.

"IKIM menyeru supaya semua pihak mendapatkan fakta yang benar dan tepat mengenai kes Nik Elin dan turut menggerakkan beberapa inisiatif antaranya mengadakan Persidangan Meja Bulat atau Muzakarah Pakar, menyampaikan maklumat perundangan yang betul melalui program radio dan penulisan serta hebahan media melalui berita dan media sosial,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE