BESUT, 12 Februari- Dalam tempoh sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini, orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di air berikutan pelbagai kejadian boleh berlaku termasuk kepala air.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan bencana negeri Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA), Mohd Rosman Abdullah berkata cuaca masih lagi tidak menentu susulan hujan masih lagi turun di beberapa kawasan termasuk di Besut.
Katanya, meski pun semua pusat rekreasi di negeri ini ditutup namun terdapat pengunjung yang melakukan aktiviti di kawasan pinggir sungai.
"Kepada pengunjung- pengunjung yang sukakan rekreasi cuba elakkan kawasan air terjun ketika musim MTL khususnya ketika waktu hujan lebat kerana kita tidak dapat menjangkakan kepala air yang turun yang akan berlaku di kawasan hulu. Namun, tanda- tanda kepala air akan berlaku jika terdapat air keruh yang akan bawa ranting- ranting kayu serta daun -daun. Sekiranya terdapat tanda sebegitu cuba elak untuk bermandi di kawasan air terjun," katanya.
Beliau yang juga Pengarah APM Terengganu ditemui selepas meninjau beberapa pusat rekreasi yang masih ditutup untuk semua pengunjung.
Terengganu telah menutup sementara semua pusat rekreasi di negeri ini bermula 1 November tahun lalu sehingga 28 Februari ini.