KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pendidikan berterusan kepada saudara baru Islam (mualaf) perlu dijadikan keutamaan dalam memperkukuh keimanan, kefahaman dan kekuatan dalaman mereka dalam menghadapi cabaran sebagai Muslim.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan, proses pengajian bukan sekadar mengajar ilmu asas Islam, malah menjadi landasan untuk membina jati diri dan kekuatan rohani mualaf dalam menempuh kehidupan baharu.
“Islam datang sebagai cahaya dan jalan keselamatan, namun cahaya itu perlu diterangi dengan ilmu dan kefahaman yang sahih. Di sinilah pentingnya Kelas Pengajian Mualaf sebagai wadah bimbingan yang sistematik dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Pengajian Mualaf Tahun 2025 di Kompleks Darul Hidayah di sini hari ini yang menyaksikan seramai 69 pelajar mualaf diraikan selepas menamatkan pengajian selama satu tahun enam bulan.
Hanifuddin meluahkan rasa bangga dan penghargaan kepada para pelajar yang bukan sahaja memeluk Islam, malah berusaha memahami dan menghayatinya secara konsisten.
“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke dalam Islam adalah nikmat hidayah yang sangat besar. Lebih membanggakan, kalian tidak sekadar memeluk Islam tetapi turut berusaha memahami dan menghayatinya dengan istiqamah,” katanya.
Mengulas cabaran yang dihadapi mualaf, termasuk tekanan keluarga, konflik dalaman serta kekangan sosial, beliau menegaskan keperluan kepada sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak.
“Pendidikan sahaja tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan sokongan yang menyeluruh. Menjadi tanggungjawab kita bersama institusi agama, NGO dan masyarakat untuk membimbing dan menyokong mualaf agar mereka tidak merasa terpinggir atau hilang arah,” ujarnya.
Sebagai langkah proaktif, JAWI kini sedang membangunkan inisiatif Rakan Mualaf Cakna, iaitu program sokongan komuniti yang akan digerakkan bersama NGO bagi menyediakan jaringan bimbingan yang lebih tersusun dan mesra mualaf.
“Kita mahu mualaf bukan sahaja diberi ilmu, tetapi juga dilibatkan dalam gerakan dakwah dan pembangunan komuniti, supaya mereka dapat menjadi agen perubahan dan inspirasi kepada orang lain yang masih mencari jalan hidayah,” jelasnya.
Hanifuddin turut menyeru lebih ramai mualaf bergiat aktif dalam NGO dan menyertai program komuniti bagi membentuk ekosistem penyantunan yang inklusif dan memberdaya.