fb fb fb fb fb

Akta 652: KESUMA perkasa Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika berucap pada Forum Ekonomi Kebangsaan 2025 / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini dalam proses merangka pindaan terhadap Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652), yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menterinya, Steven Sim berkata, pindaan tersebut antara lain bertujuan memperkasa Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dengan menaik taraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Tahap 5 kepada Tahap 6, 7 dan 8.

Usaha ini sekali gus menjadikan SKM setara dengan kelayakan akademik seperti ijazah sarjana muda dan doktor falsafah (PhD).

“Ketika ini, Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) hanya menawarkan SKM dari Tahap 1 hingga 5 yang setaraf Diploma Lanjutan. Namun tahun ini, Kabinet telah bersetuju supaya KESUMA meminda akta berkenaan bagi membolehkan SKM diperluas hingga ke Tahap 6, 7 dan 8, khusus untuk kemahiran lanjutan dalam bidang-bidang masing-masing.

Saya berharap pindaan ini dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini kerana ia penting bagi memastikan pelajar dalam aliran TVET tidak terhenti setakat Tahap 5 sahaja, tetapi mampu melangkah ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, langkah tersebut juga sejajar dengan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkukuh dan meningkatkan mutu TVET negara ini.

Dalam perkembangan sama, bagi membuktikan bidang ini setaraf dengan pendidikan lain, Steven akan menyertai SKM di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Melaka.

Sehubungan itu, beliau menyeru peneraju organisasi awam dan swasta untuk turut serta bagi mendalami sistem TVET sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada graduan aliran tersebut.

Jelas beliau, sekiranya mereka memahami sistem bidang ini secara langsung, berkemungkinan besar pemain industri akan lebih terbuka untuk mengambil graduan daripada aliran tersebut kerana telah melalui sendiri pengalaman itu.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE