IPOH, 14 Julai- Ihsan Cashback dan i-Mesra di bawah inisiatif Ihsan Rahmah MADANI (IRM) direka bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara dan meningkatkan daya saing peniaga tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek tersebut menerusi perluasan agenda Payung Rahmah dengan penglibatan pihak swasta.
"Kita telah mendapat kerjasama sektor swasta, untuk melaksanakan dua inisiatif, Ihsan Cashback dan i-Mesra."
"Ia merupakan platform e-dompet tunai untuk pengguna yang mana mereka boleh membuat pembelian di rangkaian yang terlibat seperti premis-premis perniagaan dan mereka boleh mendapat pulangan tunai," kata Armizan kepada pemberita pada prapelancaran inisiatif berkenaan sebelum Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna 2024, di sini hari ini.
Sementara itu, sistem i-Mesra pula dibangunkan sebagai platform pengurusan perniagaan digital yang membantu pengusaha makanan mengurus perniagaan.
Termasuk dari segi pengurusan inventori, kewangan, pemasaran, perlindungan liabiliti dan lain-lain lagi.
Beliau berharap kedua-dua inisiatif itu diharap dapat memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga bagi semua sektor.
Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna di Stadium Indera Mulia, di sini bermula Jumaat lepas hingga hari ini telah menarik ribuan pengunjung dengan antara menarik perhatian ialah Jualan Rahmah yang menawarkan jualan barangan keperluan seperti beras dan telur pada harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Turut dijual, minyak peket 1 kilogram bersubsidi dan barangan segar seperti ayam, ikan, bawang serta gula.