fb fb fb fb fb

Ajaran ‘HADI MINALLAH’, JAWI sudah kenal pasti lokasi operasi

PUTRAJAYA, 8 Ogos- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengenal pasti lokasi pusat penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah di sekitar Lembah Klang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan, tindakan sedang diambil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama polis bagi membanteras dakyah tersebut daripada terus berleluasa.

"Dia kalau dapat maklumat dekat saya terus saya bertindak, semalam baru dapat profile berkenaan dengan Hadi Minallah, saya terus menghubungi pihak JAWI pasal sebelum ni tak tahu, kata di Langkawi sebagainya, semalam tu kita dapat alamat tu ok kita beri pada JAWI kerana bidang kuasa untuk bertindak ni ialah dipihak pihak berkuasa agama negeri, kami ni hanyalah untuk melaporkan sahaja sebab tu kita harapkan mana-mana ada benda pelik-pelik pengajaran sebagainya tu laporlah, bukan laporkan kepada saya saja, lapor kepada Jabatan Agama, kepada Polis, cepat-cepat sikit," katanya.

 
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad)

Baru-baru ini tular di media sosial, video memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran Hadi Minallah dalam satu majlis di Langkawi.

Datuk Idris turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan gerakan ini agar terus melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan di Putrajaya.

Pada majlis tersebut Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Wilayah-Wilayah Persekutuan) atau Akta 814 telah dikuatkuasakan bagi mengawal selia amalan profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menurut Datuk Idris lagi, Akta 814 ini turut memberi penekanan berkenaan pengurusan aduan salah laku Peguam Syarie yang lebih telus dan teratur serta penambahbaikan sistem tadbir urus firma guaman syarie yang lebih efisien dan sistematik.

Di Wilayah Persekutuan sahaja, lebih 900 anggota Peguam Syarie yang berkelayakan dan berkepakaran dipilih sebagai perintis kepada negeri-negeri lain dalam menggubal enakmen yang sama seperti Akta 814 ini.

Media Baharu