fb fb fb fb fb

Idea dan dapatan lawatan kerja DUN dibincangkan pada September

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul

KUANTAN, 13 Ogos - Beberapa idea dan dapatan hasil lawatan kerja ke seluruh Dewan Undangan Negeri akan dibawa dalam persidangan Speaker-speaker parlimen dan Dewan Undangan Negeri SeMalaysia 2024 yang berlangsung pada 11 hingga 14 September depan di Kuching, Sarawak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, lawatan kerja kali pertama dilakukan itu juga bagi mengenal pasti antara kelebihan dan kelemahan yang boleh diambil; sebagai contoh serta asas kepada cetusan idea lebih baik.
 
Jelas beliau, perkara tersebut juga bakal diimplementasikan dalam persidangan parlimen dan sidang DUN negeri akan datang bagi penambahbaikan lebih baik serta keseragaman kepada perjalanan persidangan sedia ada.
 
"Ada perkara baharu yang kita tidak terfikir pun yang fikirkan Dewan Undangan Negeri. Jadi disinilah betapa penting lawatan ini ada beberapa perkara kita rasa boleh cadang apabila bersidang nanti dan mungkin resolusi ini dibawa balik ke negeri masing masing dan bagaimana kita boleh minta kerajaan mempertimbangkan apa juga permohonan kita dapatkan keseragaman, apa yang berlaku di parlimen apa yang berlaku di negeri itu supaya dapat manfaat terbaik," kata Johari.

Beliau berkata demikian selepas Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini.
 
Sebelum ini katanya, penggunaan sistem e-soalan dan e-hantar yang telah diambil daripada sidang DUN Negeri telah diguna pakai di parlimen yang jelas memberi manfaat kepada proses perjalanan persidangan.
 
Turut hadir ialah Speaker Dewan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang Lee Chin Chen.
 
Dalam lawatan itu juga beliau berkesempatan melawat Dewan Sidang DUN Pahang serta mendengar penerangan ringkas tentang perjalanan persidangan DUN di Pahang termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui oleh Speaker DUN Pahang.
 
Selepas ini beliau dijangka melanjutkan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri Selangor dan berakhir di negeri Sarawak dan Sabah.

TETITIA YUSOFF