fb fb fb fb fb

Ibu Fadhlina Sidek selamat dikebumikan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menziarah jenazah Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor, ibu kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Surau Al-Mujahidin, Desa Surada, Kajang yang meninggal dunia hari ini/Foto BERNAMA

KAJANG, 16 Jun - Jenazah Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kg Sg Ramal Dalam, di sini pada pukul 2.30 petang tadi

Lebih 100 ahli keluarga, penduduk setempat dan kenalan rapat Allahyarham, antara yang hadir di tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir buatnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada pukul 12.55 petang di Masjid Al Mujahidin.

Anwar turut menunaikan solat jenazah sejurus selepas solat Zohor yang diimamkan sendiri anak kelima Allahyarham iaitu Hazim Faizi Sidek.

Ibu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini merupakan Ketua HELWA ABIM selama empat penggal di bawah dua kepimpinan Presiden ABIM iaitu Anwar Ibrahim dan Datuk Dr. Siddiq Fadzil dari tahun 1977 sehingga 1985.

Sepanjang penglibatan beliau sebagai Ketua HELWA, Allahyarham banyak menekankan kepentingan pendidikan dan ilmu dalam kalangan wanita.

Selain itu, Allahyarham merupakan ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah (PKS) di bawah Majlis Fatwa Malaysia dan ahli jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang dipilih oleh Tabung Haji (TH).

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi pada pukul 9.30 di Hospital Serdang, Selangor.

BERITA BERKAITAN:

 

GRACE AISYAH KEDAYAN