fb fb fb fb fb

Umat Islam Pattani banjiri pasar Thesaban beli barangan keperluan menjelang sambutan Aidiladha

Gambar fail AFP

PATTANI, 16 Jun - Pasar awam Thesaban di Wilayah Selatan Thailand pada Ahad menjadi tumpuan umat Islam untuk mendapatkan barangan keperluan asas dan barangan dapur menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Tinjauan mendapati orang ramai khususnya penduduk Pattani dan kawasan-kawasan berhampiran telah mula berkunjung ke pasar seawal 5 pagi untuk mendapatkan barangan seperti ayam, ikan, santan, pelbagai jenis sayur-sayuran dan ketupat untuk persiapan hari raya.

Seorang penjual ketupat di pasar Thesaban, Syaipah Madilah, 65, berkata keluarganya mula membuat ketupat palas sejak 20 tahun lepas dan selalu mendapat pemintaan yang baik ketika sambutan Hari Raya.

"Setiap hari raya Haji sebanyak 10,000 ketupat laris dijual...ada yang telah menempah terlebih awal. Bagaimanapun, pada musim raya puasa, jumlah tempahan ketupat boleh mencecah kepada 15,000 biji” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Beliau berkata, ketupatnya dijual dengan harga 350 baht bagi 100 biji.

Seorang pengunjung, Adul Abdul Hafez, 48, berkata setiap kali menjelang hari raya, beliau akan berkunjung ke pasar ini untuk membeli belah sebagai persiapan menyambut perayaan itu.

"Saya suka mengunjungi pasar ini kerana barangan keperluan raya selalunya lengkap. Saya akan membeli ketupat, santan, ayam dan barangan dapur untuk kegunaan keluarga sempena Hari Raya Aidiladha," katanya.

Pada Jumaat lepas, Sheikhul Islam Thailand Arun Boonchom mengumumkan bahawa umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN