KUCHING, 12 Februari - Ibu bapa yang masih mempunyai keraguan terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) diharap dapat membenarkan anak mereka diberikan vaksin.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata mereka perlu mempertimbang dan meletakkan faktor keselamatan anak-anak sebagai keutamaan dalam membuat keputusan.
Jelasnya, keperluan mengambil vaksin kini lebih mendesak, dengan berlakunya gelombang varian Omicron yang lebih senang dijangkiti.
"Terdapat ibu bapa yang masih ragu-ragu, saya harap mereka dapat membenarkan anak mereka untuk disuntik.
"Ini kerana sekarang kita ada varian baru walaupun tidak telalu teruk, kalau boleh kita hendak turunkan juga jumlah jangkitan Omicron ini dan salah satu cara adalah dengan menguatkan antibodi melalui vaksin,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PICKids di Klinik Kesihatan Kota Sentosa, di sini.
Sejak pelaksanaan PICKids pada 3 Februari lalu, Sarawak memberi vaksinasi kepada 19,430 kanak-kanak, iaitu 6.8 peratus daripada 286,000 kanak-kanak di Sarawak.
Tinjauan awam dilaksanakan Jabatan Kesihatan Sarawak mendapati, 60.3 peratus daripada 41,350 responden dalam kalangan ibu bapa di Sarawak, sangat bersetuju dengan PICKids.