fb fb fb fb fb

PKB-Pajak Gadai Ar-Rahn peruntuk RM65,000, bantu mangsa banjir Disember lalu



BENTONG, 12 Februari- Permodalan Kelantan Berhad (PKB) melalui anak syarikat miliknya, Pajak Gadai Ar-Rahn menyediakan peruntukan berjumlah RM65,000 bagi pelanggan dan kakitangan mereka yang terbabit dalam bencana banjir Disember lalu.

Pengagihan sumbangan itu dilakukan serentak di cawangan Ar-Rahn Bentong dan Kuantan semalam, manakala proses penyerahan bantuan di Temerloh dan Raub dilakukan hari ini.

Pengurus Besar PKB, Ramilan Abdul Rahman berkata, program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit sebagai tanda penghargaan dan rasa simpati kepada pelanggan dan kakitangannya yang terus menyokong perniagaan mereka.

"Yang menerimanya semua sekali kita ada peruntukan RM65,000 dan kita bahagi kepada 150 keluarga dan semuanya kita bagi dalam bentuk tunai kerana saya difahamkan bahawa banyak sumbangan yang diberi dan kita rasa tunai lebih baik untuk di manafatkan oleh mereka di semua 4 zon di Kuantan, Temerloh, di Raub di Bentong dan Karak,"kata Ramilan.

Jelasnya, semua sumbangan ini adalah hasil daripada Tabung Bantuan Mangsa Banjir yang dilancarkan awal tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada pelanggan dan kakitangan Pajak Gadai Ar-Rahn di Bentong.

Turut hadir Pengurus Sumber Manusia PKB, Anis Ismail.

Ramilan berkata, selain sumbangan diperoleh melalui transaksi dilakukan pelanggan mereka, pihaknya juga menyediakan tabung khas di semua kaunter perkhidmatan pelanggan di 33 cawangan syarikat terbabit di seluruh negara.

Media Baharu