fb fb fb fb fb

Tuanku Muhriz berkenan lancar lagu identiti Negeri Sembilan



SEREMBAN, 12 Februari- Bersempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhun Tuanku Munawir yang ke-74, baginda berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Lagu Identiti Negeri Sembilan, di sini pada Jumaat.

Turut berkenan mencemar duli ke majlis itu ialah Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lagu identiti Negeri Sembilan tersebut adalah projek kerajaan negeri dalam memastikan negeri ini mempunyai satu identiti khas dalam bentuk lagu yang mengangkat keunikan negeri yang kaya dengan budaya tersendiri itu.

“Projek ini adalah rakaman dan nyanyian semula sebuah lagu asal dan penghasilan lima lagu baharu menonjolkan identiti Negeri Sembilan di bawah seliaan komposer terkenal, Fauzi Marzuki. Ia telah dicetuskan oleh Tuanku Muhriz yang menitahkan supaya nyanyian Datuk Aishah iaitu Lambaian Negeri dirakam dan dinyanyikan semula tanpa mengubah sebarang susunan muzik dan lirik.

“Melalui penghasilan album ini, kerajaan negeri berharap rakyat di negeri ini dan Malaysia khususnya dapat mengenali budaya Negeri Sembilan melalui lirik, susunan muzik dan keharmonian yang wujud melalui dendangan lagu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Lagu Identiti Negeri Sembilan di sini semalam.

Menurut Aminuddin, produk akhir bagi projek berkenaan adalah menerusi penghasilan album lagu identiti Negeri Sembilan.

"Enam lagu Identiti Negeri Sembilan ialah Lambaian Negeri, Orang Kito, Pepatah Pepitih, Dirgahayu Yang di Pertuan Besar, Nogori dan Moh Dogheh dan antara penyanyi yang menghiasi album ini ialah Datuk Aishah, Ito, Waris dan Ewal," katanya.

Sementara itu, Penasihat Kehormat bagi pelaksanaan dan penghasilan projek lagu ini, Tunku Zain Al'abidin  Tuanku Muhriz berharap, agar hasrat Tuanku Muhriz, untuk melihat lagu-lagu yang membawa identiti Negeri Sembilan dikumpul dan dinaik taraf tercapai menerusi penyempurnaan perasmian yang diadakan.

"Syukur pelancaran ini dapat dibuat dengan sempurna, saya harap usaha menaik taraf lagu identiti Negeri untuk rakyat dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan dapat memperluas skop dan medium untuk lagu ini didengar," katanya.

Media Baharu