fb fb fb fb fb

Chap Goh Mei: Hanya bunga api 'Happy Boom', mercun 'Pop Pop' dibenarkan -PDRM

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api masih lagi berkuat kuasa sempena mana-mana perayaan termasuklah sambutan Tahun Baharu Cina dan perayaan Chap Goh Mei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagaimanapun PDRM membenarkan penjualan bunga api jenis Happy Boom dan mercun Pop Pop sempena perayaan Chap Goh Mei, Selasa depan.

"Ini kerana bunga api dan mercun berkenaan tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

"Bagaimanapun, penjualan kedua-dua produk itu masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah dan mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya.

PDRM juga mengigatkan sesiapa didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Abd Jalil berkata mereka yang bermain atau membakar mercun dan bunga api dilarang juga boleh dihukum penjara tidak melebihi sebulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut peruntukan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Media Baharu