KOTA SAMARAHAN, 12 Jun - Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar Universiti Malaysia Sarawak (I-BEC UNIMAS) diminta berkongsi hasil penyelidikan mereka dengan institut biodiversiti universiti-universiti lain di negara ini.
Tindakan itu bagi membolehkan penyelidikan mengenai biodiversiti dilakukan secara bersepadu seterusnya melahirkan perkara-perkara yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UNIMAS mempunyai kekuatan dalam bidang biodiversiti berikutan keluasan negeri Sarawak serta potensi besarnya.
"Jadi mungkin pihak UNIMAS boleh main peranan untuk terajui dan mengetuai institut-institut biodiversiti yang banyak diwujudkan di universiti-universiti lain. Dan perkara ini nanti pihak kementerian akan kaji dan menentukan apa hala tuju dalam soal ini," Khaled bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas lawatan kerja ke UNIMAS, di sini.
(FOTO HIASAN)
Jelas Khaled, semua universiti di Malaysia merupakan satu pasukan yang menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan negara, walaupun bergerak dalam institusi masing-masing.
Sementara itu, mengulas penggunaan ChatGPT, Khaled memberitahu penggunaannya dalam sesi pembelajaran bagi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara ini perlu mengikut garis panduan ditetapkan.
Pengguna perlu tahu had masing-masing sebelum menggunakannya.
"Soalnya dalam keadaan apa boleh pakai dan keadaan apa yang tidak boleh pakai, kita tidak tolak sebab dia memang akan jadi kebiasaan, di sesetengah negara langsung tidak boleh pakai,"katanya.