KOTA TINGGI, 28 April- Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi, berpotensi tinggi menjadi salah satu tarikan utama pelancongan antarabangsa di Johor, atas faktor ekosistem yang baik dengan menempatkan 308 spesis burung.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, seramai 1,533 pengunjung direkodkan melawat Suaka Burung Panti tahun lalu, dengan 1,217 daripadanya, adalah pengunjung luar negara.
Bagi menyemarakkan Hutan Panti pada tahun ini, Jabatan Perhutanan Johor bersama Persatuan Cinta Alam Malaysia dan pelbagai agensi lain, menganjurkan Panti Bird Race 2024, bermula semalam hingga hari ini.
Program bertujuan merekodkan maklumat spesis burung yang terdapat dalam Hutan Simpan Panti, mencatatkan 109 penyertaan, dengan 67 daripadanya, merupakan peserta antarabangsa.
Johan program tersebut, berjaya merekodkan 81 spesis burung yang berada dalam hutan simpan berkenaan antaranya, burung Rimba Malaysia.
"Mudah- mudahan kami berharap program ini dapat berlangsung secara tahunan, supaya ia boleh diletakkan dalam kalendar kita, sekali gus dapat menarik peminat antarbangsa untuk datang ke sini.
"Seperti mana yang kita tahu, Hutan Simpan Panti adalah kawasan tumpuan bagi iburung-burung luar dan mempunyai kepelbagaian biologi,"katanya.
Beliau berharap perancangan awal dan promosi dapat dilakukan dengan baik, bagi memastikan lebih ramai pengunjung menyertai program itu pada tahun akan datang, seterusnya memeriahkan Tahun Melawat Johor 2026.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan hari kedua Program Panti Bird Race 2024.
Dalam pada itu, Tian Soon memaklumkan pihaknya sedang berusaha mendapatkan kebenaran bagi membolehkan Suaka Burung Panti dibuka kepada orang awam.
Ketika ini, sebarang aktiviti di kawasan itu perlu membuat permohonan daripada Jabatan Perhutanan Johor.