fb fb fb fb fb

Sarawak taja penuh pengajian anak-anak mendiang Joanna Feliaca Rohnna

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat keluarga mendiang Joanna di Kampung Engkeroh, Tebekang

SERIAN, 28 April- Kerajaan Sarawak bersetuju membiaya sepenuhnya yuran pengajian kedua-dua anak mendiang mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohnna 26, yang terkorban dalam kejadian nahas helikopter di Lumut, Perak, Selasa lalu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kedua-dua anak mendiang iaitu Allesia Felice Haslie, 4 tahun dan anak lelaki, Hovannes Haslie, 1 tahun akan didaftar dalam Yayasan Sarawak untuk pembiayaan yuran dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.

"Kalau nama sudah daftar dalam data Yayasan Sarawak, kita akan terlibat hingga ke peringkat setinggi-tingginya. Mudahan anak-anak mendiang dapat belajar ke peringkat universiti, mungkin selepas itu masuk tentera."

"Saya rasa anaknya tentu mempunyai semangat wira juga mengikut jejak kedua-dua bapa dan emak yang bertugas di Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," kata Abang Johari ketika ditemui media selepas melawat keluarga mendiang Joanna di Kampung Engkeroh, Tebekang di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan Sarawak juga menyalurkan sumbangan bernilai RM10,000 bagi membantu meringankan beban keluarga wirawati itu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang sambil menambah Sarawak kehilangan seorang wanita bersemangat perwira yang telah berjuang bersama-sama rakannya dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Hadir sama pada perjumpaan tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM