
(Foto hiasan/ BERNAMA)
BERA, 10 Jun- Hukuman mati yang bukan mandatori masih wujud meskipun hukuman mati mandatori dimansuhkan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terdapat 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori dan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Manakala, 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
“Kita berpandangan setiap manusia perlu diberikan peluang kedua. Jika ada dua pilihan (hukuman) dan jika dirasakan orang itu memang penjenayah tegar mengedar dadah sehingga menyebabkan ratusan ribu orang mati, boleh dihukum mati dan dibenarkan untuk jatuhkan hukuman mati,
“Tetapi jika dirasakan daripada budi bicara patut diberikan peluang kedua untuk berubah menjadi lebih baik dan hendak diberikan hukuman penjara seumur hidup dengan sebat maka hakim boleh meminda hukuman mati mandatori kepada hukuman tersebut,” jelasnya kepada media di Bera, Pahang.
(Foto fail/ RTM)
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pemansuhan hukuman mandatori memberikan hakim pilihan untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.
Katanya, hakim tidak lagi terikat dengan perkataan ‘mandatori’ bagi hukuman mati yang menyebabkan mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati seperti diperuntuk undang-undang.