TERENGGANU, 25 Januari- Hujan lebat berterusan di Terengganu dijangka akan berlanjutan sehingga esok.
Pengarah Meteorologi negeri, Rosli Zakaria bagaimanapun memaklumkan, intensiti hujan telah berkurangan berbanding semalam.
Katanya, berdasarkan ramalan terkini, seluruh negeri Terengganu masih berisiko mengalami hujan lebat berikutan luruan monsun yang meningkatkan kelembapan seterusnya berpotensi menyebabkan hujan berterusan di pantai timur Semenanjung.
"Manakala bermula esok dan seterusnya keadaan cuaca secara amnya dijangkakan bertambah baik dan kita tak nampak sebarang tanda-tanda akan berlakunya hujan lebat yang berterusan," katanya.
Tambah Rosli, luruan monsun yang dijangka berterusan sehingga Ahad ini juga menyebabkan angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam serta laut bergelora dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter yang berbahaya kepada aktiviti pantai dan bot-bot kecil.
Sementara itu, Portal Public Info Banjir setakat pukul 10 pagi tadi menyatakan Sungai Tersat di Kampung Sekayu dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja masing-masing menunjukkan bacaan di peringkat bahaya.
Lima lagi sungai iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Telemong di Kuala Ping dan Sungai Dungun di Kuala Jengai pula menunjukkan bacaan peringkat amaran.