fb fb fb fb fb

JKM Perlis salur bantuan RM40 juta setahun

FOTO MEDIA ISTANA ARAU

PADANG BESAR, 25 Januari- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis telah berjaya mengurangkan jurang pendapatan dan ekonomi rakyat melalui bantuan-bantuan yang telah disalurkan serta pelbagai peluang menjana pendapatan tanpa mengira kaum bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu.

Keseluruhan penerima bantuan kewangan bulanan aktif JKM Perlis adalah 9,151 kes melibatkan peruntukan RM40 juta setahun.

Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa memaklumkan dalam usaha menyampaikan secara terus sumbangan, pihaknya turut menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Beliau berkata, sebanyak 240 buah keluarga telah disantuni dari lawatan ke rumah oleh JKM melalui 80 Siri Program MAIPs Peduli pada tahun 2023 yang lalu.

"Melalui program ini juga JKM berjaya menyenarai pendek mereka yang berkelayakan untuk diteruskan bantuan atau diberi kelulusan-kelulusan baharu.

"Kolaborasi ini secara tidak langsung mewujudkan rangkaian kerjasama pelbagai agensi negeri dan persekutuan serta pihak swasta di Perlis dalam usaha untuk sama-sama membantu para penerima bantuan, mengenal pasti keperluan atau masalah dan mencari kaedah penyelesaian yang bersesuaian,"katanya.

Beliau memaklumkannya ketika mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Majlis Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Ali bin Abi Talib Perawah, Datuk Kayaman, Bukit Keteri.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada 140 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Perawah dan Ngulang dengan setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai sebanyak RM700 bagi menampung keperluan harian.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE