GUA MUSANG, 8 Oktober - Penduduk Kampung Batu 2, di sini menyifatkan kejadian ribut dan hujan batu semalam yang merosakkan bumbung rumah mereka adalah yang terburuk pernah berlaku sejak tinggal di kampung itu lebih 40 tahun.
Salah seorang mangsa, Rahimah Mat Ali menceritakan detik cemas apabila dia menyaksikan angin yang sedang berpusing.
"Bunyi angin seperti orang sedang bertempik, kuat dan menakutkan," katanya ketika ditemui pemberita di kampung berkenaan.
Turut berdepan situasi mencemaskan itu, Rohida Che Kob hingga dia terpaksa menyorok di bawah meja makan selama 10 minit bagi menyelamatkan diri.
"Angin begitu kuat hingga menerbangkan bumbung zink rumah dan saya lari bersembunyi di bawah meja. Kejadian begini tidak pernah berlaku sebelum ini," kongsinya
Norjannatun Shuhada Hanusi yang juga mangsa kejadian berkongsi pengalaman serupa.
"Saya tidak sangka ribut sekuat itu kerana kejadian sebegini tidak pernah berlaku. Anak saudara saya seperti trauma malah bayi pun pun kelihatan takut," ujarnya.
Dalam kejadian petang semalam, hujan batu berserta angin kencang itu telah menjejaskan enam buah rumah penduduk selepas bumbung rosak teruk dibadai ribut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim memaklumkan wakil kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah memberikan bantuan awal kepada mangsa bencana terlibat.