LANGKAWI, 20 Mei- Seramai 129 pelajar tahfiz kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang aeroangkasa di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu kejayaan dalam usaha mengintegrasi ilmu agama dan teknikal.
Beliau berkata 129 pelajar tahfiz itu merupakan lepasan Maahad Tahfiz Ulul Albab, kini sedang mengikuti Kursus Kejuruteraan Aeroangkasa di UniKL MIAT, di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Saya bersyukur kerana pelajar-pelajar daripada huffaz ini diterima dengan baik, bukan sahaja di MIAT, tetapi juga oleh pemain industri. Mereka cepat tangkap silibus dan cepat sesuaikan diri dari segi praktikal.
Menurut beliau, pelajar huffaz berkenaan menunjukkan prestasi cemerlang, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah berjaya menyesuaikan diri dengan baik dalam latihan praktikal industri.
Kesemua 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kini telah diterapkan dengan kurikulum Ulul Albab dan 70 peratus pelajar mengambil silibus Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), satu pendekatan strategik untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir berintegriti.
"Kita akan jadikan MRSM sebagai feeder school untuk UniKL dan Univeristi Poly-Tech Malaysia (UPTM) dalam bidang aeroangkasa, kerana negara memerlukan 60,000 tenaga mahir, tetapi kita hanya hasilkan kira-kira 6,000 setahun", katanya.
Tambahnya, bekas pelajar tahfiz kini telahpun berkhidmat di sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) termasuk di Batu Berendam, Melaka sekali gus membuktikan kemampuan mereka menguasai bidang teknikal berteknologi tinggi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menyaksikan pemeteraian lima memorandum perjanjian antara UniKL MIAT dan lima syarikat industri strategik sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25).