fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia perkasa keselamatan perairan negara menerusi perolehan hampir RM1.19 bilion

Maritim Malaysia sentiasa komited untuk meningkatkan keupayaan aset dan sistem pemantauan demi menjamin keselamatan perairan negara / Foto ihsan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan operasi maritim negara apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) memeterai beberapa perjanjian strategik bernilai hampir RM1.19 bilion  pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA'25).

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan itu merupakan langkah penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

"Perjanjian yang ditandatangani ini melibatkan pembelian Kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) daripada Desan Shipyard bernilai RM300 juta, penyelenggaraan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) di Semenanjung Malaysia oleh AMP Corporation (M) Sdn Bhd bernilai RM59.4 juta dan perolehan empat helikopter medium lift melalui Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM529 juta.

"Turut dimeterai ialah surat hasrat (LOI) bagi penyiapan dua buah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV 2 dan OPV 3) oleh Shin Yang Shipyard Sdn Bhd, dengan nilai projek mencecah RM298 juta," katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman memeterai kontrak perolehan bersama syarikat-syarikat tersebut, yang turut disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah serta barisan kepimpinan tertinggi kementerian.

Sementara itu, Mohd Rosli turut menegaskan, Maritim Malaysia sentiasa komited untuk meningkatkan keupayaan aset dan sistem pemantauan demi menjamin keselamatan perairan negara.

"Perolehan ini akan membantu melicinkan operasi dan mempercepatkan respons terhadap sebarang ancaman atau kecemasan di laut,” katanya.

Katanya, kapal dan helikopter baharu yang bakal diperoleh itu akan meningkatkan keupayaan rondaan jarak jauh, operasi penguatkuasaan serta misi mencari dan menyelamat di kawasan perairan Zon Maritim Malaysia.

Selain Maritim Malaysia, majlis sama turut menyaksikan sesi menandatangani nilai kontrak dan perolehan melibatkan Polis Diraja Malaysia berjumlah lebih RM281 juta.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN