AMPANG JAYA, 27 Julai - Hubungan rapat antara masyarakat dan pemimpin setempat menjadi asas penting dalam membentuk perpaduan komuniti.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kepercayaan masyarakat terhadap institusi seperti Jawatankuasa Penduduk (JKP) perlu diperkukuh melalui tindakan yang proaktif, khususnya dalam menangani isu-isu harian penduduk, daripada isu kecil sehinggalah ke masalah besar, segala aduan masyarakat perlu diberi maklum balas yang cepat dan berkesan.
"Sikap dan keupayaan kita akan menentukan masa depan, membentuk pandangan serta persepsi masyarakat secara keseluruhannya. Aduan, sama ada sekecil isu kutipan sampah mengikut jadual, sehinggalah kepada perkara besar seperti punca kejadian tanah runtuh atau bencana alam, semuanya memainkan peranan penting."
"Daripada aduan tempat letak kereta hingga kepada isu anjing liar atau haiwan tidak terkawal, daripada jalan berlubang hingga kepada pembinaan lebuh raya dan jalan baharu, kesemua aduan ini memerlukan maklum balas yang cepat, tepat dan berkesan.
"Di sinilah pentingnya peranan semua pihak, daripada pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hinggalah ke ahli-ahli JKP. Cara kita melayan aduan dan membentuk komuniti yang responsif amat penting. Sebab itu, hubungan informal seperti ini, sama ada melalui MPAJ atau saluran tidak rasmi, sangat membantu dalam menjalin komunikasi dan menyelesaikan masalah bersama," katanya ketika berucap di majlis perasmian Sukan JKP MPAJ 2026 di Ampang, Selangor.
Hubungan tidak formal antara ahli JKP, pegawai daerah dan agensi berkaitan juga disaran diperkukuh, agar penyelesaian masalah dapat dilakukan secara pantas dan berkesan.
Beliau turut mengingatkan, apabila kepercayaan masyarakat mula terhakis, ia bukan hanya menjejaskan reputasi JKP, tetapi juga imej kerajaan negeri secara keseluruhan.