fb fb fb fb fb

Himpunan pembangkang di ibu negara cermin kematangan demokrasi Kerajaan MADANI

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli Abd Halim/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Himpunan pembangkang yang berlangsung di ibu negara semalam bukan satu kelemahan pentadbiran, sebaliknya bukti nyata kematangan demokrasi dan keterbukaan era pentadbiran Kerajaan MADANI.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli Abd Halim berkata, kerajaan hari ini bukan sahaja menjamin hak bersuara, malah membudayakan norma baharu dalam politik negara membolehkan rakyat bebas menyuarakan pendapat secara bebas tanpa takut.

“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara rakyat dibungkam, perhimpunan dibedil dan perbezaan pendapat dijenayahkan. Hari ini, era itu telah berlalu.

“Di bawah Kerajaan MADANI, rakyat bebas berhimpun secara aman di tengah ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan, ini kekuatan sebenar sebuah demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakam penghargaan kepada anggota keselamatan yang menjalankan tugas secara profesional tanpa sebarang provokasi.

“Ketiadaan gas pemedih mata, belantan atau perisai rusuhan adalah simbol kematangan institusi kita.

"Ia mengangkat peranan pasukan keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara,” ujarnya.

Tambah beliau, cita-cita Madani bukan sekadar memastikan hak sivil, tetapi turut merangkumi hak kehidupan rakyat melalui pelbagai dasar menyentuh isu kos sara hidup, kemiskinan, pendidikan, pekerjaan dan reformasi ekonomi.

“Di pentas antarabangsa pula, kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan telah berjaya mengangkat kembali imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini pasca pandemik,” katanya.

Mengulas tindakan pembangkang, Adam menyifatkan pendekatan politik lawan kini lebih bersandarkan permainan persepsi dan serangan ke atas personaliti, berbanding penyampaian dasar alternatif yang kukuh.

“Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang dilihat ketandusan hala tuju. Ini mendorong mereka mencipta ketidaktentuan demi keuntungan politik jangka pendek.

“Namun bagi KEADILAN, himpunan ini bukan ancaman, sebaliknya lambang perubahan budaya politik daripada era kuku besi kepada era keterbukaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan MADANI telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi.

Justeru, beliau mencabar pembangkang supaya menunjukkan kematangan yang sama, termasuk mendidik penyokong agar berhujah secara rasional dan berhemah.

“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati dari ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya.Kita semua sedang mencorak wajah baharu Malaysia. Negara yang lebih terbuka, matang dan adil.

“Inilah semangat Madani; rakyat bebas bersuara tanpa rasa takut, dan kerajaan pula sedia mendengar tanpa angkuh,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD