MUAR, 25 Julai -Harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter yang diumumkan baru-baru ini, khas untuk rakyat Malaysia manakala warga asing akan dikenakan harga pasaran semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan subsidi kerajaan yang besar hanya dinikmati rakyat tempatan, selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang mengutamakan keadilan sosial.
"Minyak petrol RON95 untuk rakyat Malaysia, kita jual RM1.99. Tetapi, untuk warga asing dan pelancong termasuk dari Singapura, mereka akan bayar harga pasaran, RM2.50 atau RM2.60 seliter.
Ini bukan diskriminasi, tetapi dasar negara berdaulat yang menjaga rakyatnya,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.
Anwar berkata penyasaran subsidi petrol ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan negara yang selama ini turut dinikmati oleh warga asing yang tidak membayar cukai atau menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara.