
KOTA TINGGI, 5 April – Hubungan diplomatik yang baik membantu Malaysia menangani isu secara strategik, lebih-lebih lagi semasa ketidaktentuan ekonomi global, akibat konflik geopolitik ketika ini.
- Perbincangan PM Anwar dengan Presiden Iran berjaya dapatkan kebenaran laluan bagi tujuh kapal Malaysia terkandas di Selat Hormuz.
- Malaysia berhubung dengan UAE, Arab Saudi, Pakistan, Turkiye dan AS namun perbualan panjang dengan Iran membawa hasil.
- Sekatan transit di Selat Hormuz akibat tindak balas Iran terhadap serangan AS dan Israel menjejaskan bekalan minyak dan keperluan rakyat.
Mengambil contoh krisis tenaga global termasuk isu bekalan minyak dunia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil perbincangan dengan Presiden Iran, negara berjaya mendapatkan kebenaran laluan untuk tujuh kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz meneruskan perjalanan pulang.
“Kita menghubungi dan bercakap dengan pemimpin UAE (Emiriah Arab Bersatu), Arab Saudi, Pakistan, Turkiye dan AS (bincang isu semasa), tapi kita masih mampu berbincang panjang dengan Iran dan memohon kerjasama Presiden Iran melepaskan tujuh kapal kita dan beliau setuju pada masa itu juga. Ini tidak mudah.
“Saya maklumkan kepada Presiden Iran, kapal kita masih tersangkut di Selat Hormuz dan ini sangat penting untuk kehidupan rakyat kita dan keperluan minyak dalam negara. Sebaik selepas telefon itu, beliau mengarahkan supaya diberi laluan kepada kapal-kapal Malaysia dan Alhamdulillah ini bermakna hubungan (diplomasi) itu harus baik,” katanya ketika berucap semasa Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di Kota Tinggi.
Sekatan terhadap pergerakan kapal di Selat Hormuz berlaku selepas Iran mengehadkan transit melalui laluan penting global itu yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap serangan dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel lebih sebulan lalu.