fb fb fb fb fb

HSR Bangkok-KL: Malaysia, Thailand setuju tubuh jawatankuasa khas

(GAMBAR FAIL)

SINGAPURA, 18 Mei - Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincangkan perkara terperinci mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain berkaitan cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Bangkok-Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Thailand.

Beliau yang berada di sini atas jemputan kerajaan Singapura sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Saksayam Chidchob.

(Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya dari
Thailand Saksayam Chidchob di Singapura / FOTO FB MENTERI)

"Susulan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand pada Februari 2022, kami seperti mana yang diamanahkan oleh kedua-dua Perdana Menteri, buat kali pertama memulakan perbincangan tentang cadangan projek keretapi kelajuan tinggi (HSR) dari Bangkok ke Kuala Lumpur,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya.

Pada 26 Februari lepas, Malaysia dan Thailand dilapor bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan jajaran HSR di antara Kuala Lumpur dengan Bangkok.

Ia hasil daripada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha di Rumah Kerajaan di Bangkok semasa lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu.

Media Baharu