(FOTO MRT CORP)
JOHOR BAHRU, 18 Mei - Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka mengurangkan penggunaan Tambak Johor hingga 35%, apabila mula beroperasi pada tahun 2027.
Penggunaan Tambak Johor sebelum pandemik COVID-19 mencecah 350,000 pengguna sehari.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata hampir 122,500 orang daripada jumlah pengguna Tambak Johor dijangka menggunakan RTS.
Pada masa ini, pembinaan RTS sudah 15% dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.
"Kita sudah menyelesaikan isu-isu pengambilan tanah pada akhir Disember tahun lepas. Kerja-kerja pembinaan juga kami giatkan semula sejak bulan Disember tahun lepas.
"Tempoh perjalanan dapat dipendekkan kepada 15 minit kerana Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Singapura dan Malaysia akan ditempatkan dalam satu bangunan berbanding lebih sejam ketika ini," katanya.
Beliau sebelum itu menerima lawatan pelajar Wharton School of the University Pennsylvania dan Singapore Management University ke Projek RTS, di sini hari ini.
(Datuk Mohd Zarif Hashim)
Pada masa sama, MRT Corp sedang mengkaji Sistem Penyuraian Trafik melibatkan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL).
Perbincangan sedang dibuat bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan mengenai kos dan pembiayaan.
Ini termasuk untuk mewujudkan akses terus dari RTS ke EDL.