fb fb fb fb fb

Guru sekolah rasuah pembekalan peralatan sekolah

BUTTERWORTH, 18 Mei - Guru sekolah menengah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan salah guna kedudukan mendapatkan suapan bagi pembekalan peralatan sekolah lima tahun lalu.

Tertuduh, Hazlina Kasah, berusia 46 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth.

Mengikut pertuduhan, Hazlina didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) ketika berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat miliknya, Hazwan Event Management bagi membekal barangan melalui satu nota minta bernilai RM2,353.66.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pentadbiran SMK Pokok Sena pada 17 Oktober 2017.


(Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth)

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan beberapa lagi barangan lain bernilai RM522.66.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 19 Oktober 2017.

Kesemua pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azlan Basri.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada pihak mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran tempat tinggalnya sebulan sekali serta tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media Baharu