fb fb fb fb fb

HSN di Kedah dihadiri lebih 11,000 peserta

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

SINTOK, 12 Oktober- Sambutan Hari Sukan Negara 2024 peringkat negeri Kedah dihadiri lebih 11,000 peserta di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melibatkan 12 daerah di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aktiviti sukan bukan sahaja mengangkat maksud perpaduan kerana melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, malah turut boleh dijadikan sebagai industri.

"Hari ini segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai agensi pertubuhan, persatuan menjayakan acara ini. Jadi ia sebenarnya sudah pun mencapai perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran HSN 2024.

Exco Belia dan Sukan Kedah Muhamad Radhi Mat Din; Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kedah Noor Azma Deris serta Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh turut menghadiri program itu.

Sebanyak 30 segmen sukan disediakan sepanjang tiga hari sambutan HSN 2024 peringkat negeri Kedah bermula 11 Oktober.

Bukan sahaja golongan muda, ia juga memberi peluang kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk turut serta dalam aktiviti disediakan.

Manakala hampir 30 pempamer menyertai HSN 2024 kali ini antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kaunter semakan dan bayaran saman.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI