fb fb fb fb fb

RUU Mufti wilayah wujud pengasingan kuasa tentukan hukum syariah, syarak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Dakwaan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan menggugat kebebasan warganegara adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata, ini kerana kebebasan beragama orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama.

Katanya, menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara Jabatan Agama Islam, Mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas kerana kuasa mengeluarkan Hukum Syarak bawah bidang kuasa Mufti akan ditadbir Akta berasingan.

"Tindakan mempertikai kuasa mufti atas alasan penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat adalah tindakan yang tidak berperlembagaan.

"Masyarakat perlu menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti kerana Mufti adalah pihak berkuasa yang berautoriti yang memberi nasihat tentang hukum yyarak sebagaimana diperuntukkan bawah seksyen 33 Akta 505 (Fasal 4 RUU Mufti)," kata Dr Na’im.

Beliau berkata, sesuatu fatwa yang diwartakan bawah RUU Mufti adalah untuk orang Islam sahaja serta terhad bawah bidang kuasa negeri.

Selain itu, RUU Mufti wilayah digubal bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja.

Jesteru, beliau mengajak orang ramai supaya memberi sokongan terhadap penggubalan RUU tersebut kerana ia sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang orang Islam seterusnya menjamin hak-hak keadilan kepada umat Islam di Malaysia.

TETITIA YUSOFF