(Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi)
KUALA NERUS, 27 Mei- Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) yang dijadualkan untuk memulakan operasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini bakal memberi kemudahan bagi pesakit-pesakit Institut Jantung Negara(IJN) khususnya bagi mereka yang berada di negeri-negeri Pantai Timur.
Jalinan kerjasama yang memberi tambah nilai terbaik ini secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan operasi IJN di ibu kota yang kadang kala memberi kekangan faktor jarak dan masa khususnya melibatkan pesakit-pesakit yang mempunyai temu janji berkala.
Antara fokus perkhidmatan yang ditawarkan adalah pembedahan atau rawatan jantung, kardiologi, ortopedik oftalmologi dan psikiatri bagi pesakit dewasa dan kanak-kanak.
Menambah menarik, HPUnisZA yang berkapasiti 200 katil pesakit ini dan mempunyai 12 dewan bedah juga akan berkonsepkan kod amalan patuhi syariah bagi memberi keselesaan buat pesakit-pesakit khususnya yang melibatkan pesakit-pesakit wanita dan mana-mana pihak yang memerlukan perkhidmatan ini.
"Kami yakin bahawa perhubungan yang simbiotik ini akan memberikan lebih banyak manfaat bukan hanya kepada masyarakat di Terengganu malah masyarakat di pantai timur dan akhirnya ia membantu pada usaha kerajaan untuk desentralisasi,"kata Pengarah HPUniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif.
"Dari segi perkhidmatan itu kita sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan ataupun klinikal, termasuk waktu menunggu atau pun waktu mendapatkan temu janji atau waktu mendapatkan prosedur,"kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi.
Beliau ditemui pemberita selepas program berbasikal yang dianjurkan bersama oleh kedua-dua penyedia perkhimatan kesihatan itu yang berlangsung di HPUniSZA .
(Pengarah HPUniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif)