PENAMPANG, 12 November- Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat kebangsaan pertama kali disambut di Sabah dalam bentuk karnival bagi meraikan peniaga-peniaga kecil di negeri itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata sambutan HPPK itu akan berlangsung selama tiga hari, mulai 7 hingga 9 Disember di Buhavan Square, Penampang.
KUSKOP memilih Buhavan Square, Penampang kerana ia merupakan tempat strategik, disokong dengan kewujudan ramai peniaga-peniaga kecil menjalankan operasi perniagaan.
"Kita memilih Penampang sebagai tempat pelaksanaan sambutan peringkat kebangsaan pada tahun ini kerana kita mahu memberi penghargaan dan meraikan penjaja, peniaga kecil ini, ditempat mana mereka berniaga," kata Ewon kepada pemberita dalam program rakaman Hari Penjaja dan Peniaga Kecil HPPK di Buhavan Square, Penampang.
Jelas beliau, terdapat tiga tapak jualan yang sedang beroperasi di Buhavan Square iaitu di Tamu Sangadau, Tamu Mingguan, dan Pasar Harian.
Antara aktiviti menarik sepanjang HPPK ialah pameran pelbagai agensi, jualan penjaja dan peniaga kecil dari Sabah, Sarawak dan semenanjung serta pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
HPPK akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Disember di Buhavan Square, Penampang.