KAJANG, 30 September- Hospital pakar patuh Syariah dan berasaskan wakaf pertama negara akan dibina di Semenyih sekali gus menjadi pemangkin peluasan instrumen wakaf dalam sektor kesihatan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasiliti seluas 1.05 hektar itu akan dikenali sebagai Hospital Pakar Semenyih dan dijangka siap pada 2028 serta bakal beroperasi sepenuhnya mengikut undang-undang serta etika komersial Islam.
Jelasnya, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan instrumen wakaf mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan berkualiti di samping menjana hasil mampan kepada institusi wakaf negeri.
Beliau berkata, hospital itu akan dilengkapi 261 katil merangkumi pelbagai kepakaran perubatan dan dikendalikan oleh An-Nur Healthcare.
"Seiring aspirasi Ekonomi MADANI, kerajaan menyasarkan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara dengan sumbangan 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Hospital Pakar Wakaf di Semenyih di sini hari ini.
Fadillah turut menekankan kepentingan penerapan elemen teknologi hijau dalam pembinaan hospital itu selaras dengan sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.