fb fb fb fb fb

BUDI95: KUSKOP sedia terima maklum balas daripada usahawan PMKS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick/ Foto RTM

PENAMPANG, 30 September - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) belum menerima sebarang rintihan daripada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berhubung kelonggaran penggunaan petrol 300 liter sebulan di bawah pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), setakat ini.

Menurut Menterinya, Datuk Ewon Benedick, beliau bagaimana pun mengalu-alukan sekiranya usahawan atau persatuan berkaitan tampil mengemukakan maklum balas untuk dipertimbangkan.

"Tetapi saya mengalu-alukan sekiranya ada maklum balas daripada usahawan-usahawan PMKS itu, boleh kemukakan kepada saya supaya saya boleh kemukakan kepada kabinet atau pun jawatankuasa kabinet yang bersesuaian untuk saya angkat bagi pihak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan cek kepada 15 penerima Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0 dan BEEP Plus berjumlah RM2.07 juta, di sini hari ini.

Tambah Ewon, BUDI95 berjaya menyelesaikan beberapa isu termasuk pemilikan kenderaan oleh warga asing yang sebelum ini turut menikmati subsidi, serta memastikan hanya kenderaan yang sah dari segi cukai jalan dan lesen pemandu layak menerima manfaat program berkenaan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN