KLANG, 30 September- Pelaksanaan subsidi RON95 menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Selangor memberi kelegaan kepada orang ramai khususnya ketika kos sara hidup semakin mencabar.
Inisiatif Kerajaan Persekutuan itu kini diperluas kepada lebih 16 juta rakyat Malaysia yang layak selepas pelaksanaannya dimulakan kepada anggota tentera, polis dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40.
Tinjauan di sebuah stesen minyak di Klang mendapati petugas turut membantu pelanggan membuat transaksi dengan cepat dan lancar hanya menggunakan kad pengenalan.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana menurunkan harga minyak, sekurang-kurangnya kami boleh berjimat," kata Ng San Ken.
Seorang lagi pengguna, Rajendran Vellu menyifatkan subsidi itu membolehkan beliau berjimat sehingga RM6 setiap kali mengisi minyak bernilai RM20.
Sementara itu, Mohd Amir Hafis Zamri berkata, sistem BUDI95 mudah digunakan kerana hanya memerlukan kad pengenalan sebelum menikmati kadar subsidi.
"Terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas subsidi ini, dapatlah kami berjimat," katanya.