KUALA LUMPUR, 30 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka segera tanpa sebarang halangan kerana sekatan hanya menambah penderitaan penduduk Palestin yang kini berada dalam keadaan kritikal.
Dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan, Tunku Nashrul Abaidah, Datuk Seri Anwar selaku penaung inisiatif Sumud Nusantara yang merupakan sebahagian daripada Global Sumud Flotilla (GSF) sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis Malaysia yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman Israel.
Beliau menegaskan kerajaan bersama rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong misi kemanusiaan itu yang dilaksanakan selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas perjuangan negara dalam isu Palestin.
“Keberanian serta ketabahan para aktivis amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza,” katanya ketika menyampaikan taklimat itu, hari ini.
Beliau berkata demikian menerusi video yang disiarkan secara langsung Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Sumud Nusantara merupakan sebahagian daripada Global Sumud Flotilla yang giat melaksanakan misi bantuan ke Gaza dengan penyertaan 34 rakyat Malaysia.
Mereka kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece bersama aktivis dari 45 negara lain yang belayar menuju Gaza.