SEREMBAN, 16 Mei- Hospital Rembau menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia sekali gus melengkapkan tujuh buah hospital di bawah kawalan kerajaan yang memperoleh sijil pengesahan itu di Negeri Sembilan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, beliau melihat pencapaian 100% halal itu juga wajar diperluas meliputi agensi kerajaan yang lain.
"Negeri Sembilan amat mengalu-alukan program ini dan kita berharap dapat diteruskan bukan sahaja di hospital tetapi di semua tempat khususnya di kantin sekolah di kafeteria, gerai-gerai PBT yang terlibat.
Saya berharap bahawa industri halal ini dapat diangkat di negara kita kerana kita adalah negeri yang pertama memperkenal industri halal ini di peringkat negara dan antarabangsa," kata Aminuddin kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Surat Penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Hospital Rembau di Wisma Negeri, di sini.

(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil
Pengesahan Halal Malaysia dan Surat Penghargaan kepada JKNS dan Hospital Rembau di Wisma Negeri, di sini)
Sementara itu, bagi memperkasa aspek halal di Negeri Sembilan, kerajaan negeri menggalakkan pengendali atau penyedia makanan di negeri itu untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bagaimananpun untuk menjadikan aspek halal sebagai syarat tambahan dalam pemberian lesen perniagaan premis makanan tidak dikuatkuasakan buat ketika ini, namun ia akan dilaksana secara berperingkat pada masa akan datang.
"Ia masih lagi dalam fasa cadangan. Kalau ada sijil halal itu menjadi keutamaan, nanti kalau tidak semua kedai kena tutup. Maka, kita galakkan untuk mereka khusus kepada pengendali makanan.
Jadi, kalau ada halal mungkin kita akan letak di situ sebagai satu daya tarikan kepada mereka yang mencari makanan halal," tambah Aminuddin kepada pemberita.